BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Pages

BLOG KESUSASTERAAN MELAYU CIKGU FARHAN

SELAMAT MELAYARI BLOG KESUSASTERAAN MELAYU CIKGU FARHAN DI LINK INI BERSAMA MENUJU KEGEMILANGAN!!

Pengunjung Setia

Dari Mana Anda Online?

KATA-KATA HIKMAT / FALSAFAH

ANDA TIDAK KUAT
TETAPI ANDA MEMPUNYAI KEKUATAN
UNTUK MENJADI KUAT,

LANGKAH PERTAMA ITU ADALAH HARAPAN
SEDANGKAN TIDAK MELANGKAH
LANGSUNG TIADA HARAPAN.

OLEH : DATO' DR. SYED AHMAD

CITA-CITA TANPA USAHA ADALAH ANGAN-ANGAN,
ANGAN-ANGAN YANG DIUSAHAKAN ADALAH CITA-CITA.


OLEH : MAS ADEKI

Tuesday, May 3, 2011

> Linguistik

1.0 PENGENALAN

1.1 Definisi Linguistik

Menurut kamus dwibahasa (1981:716), linguistik bererti pengajian ilmu bahasa. Oleh David Crystal dalam bukunya a dictonary of linguistics and phonetics (1986:181), linguistik merupakan kajian saintifik terhadap bahasa (the scientific study of language).

Perkataan linguistik berasal daripada perkataan Latin lingua, iaitu bahasa. Perkataan lain ini juga digunakan dalam banyak bahasa lain yang berasal daripada bahasa latin seperti dalam bahasa Sepanyol (langue, langage), bahasa Itali (lingua), atau bahasa Sepanyol (lengua) atau dalam Inggeris (linguistics). Perkataan linguistik berasal daripada bahasa Inggeris (lnguistics) yang dipinjam daripada bahasa Perancis, linguistique. Orang yang pandai atau faham bermacam-macam bahasa asing atau ahli bahasa dipanggil linguis, dan orang yang mengetahui atau bertutur dalam bahasa dikenali sebagai biolingual atau multilingual.

Ferdinand de Saussure, seorang sarjana bangsa Swiss dianggap sebagai pelapor linguistik moden. Bukunya cours de linguistique generale (1916) sangat terkenal dan dianggap sebagai buku asas linguistik moden. Oleh sebab itu, beberapa istilah yang dipakai oleh de Saussure diterima umum sebagai istilah rasmi, misalnya langage, langue dan parole (Prof. Dr J. W. M Verhaar (1983:1) langage bererti bahasa pada umumnya, misalnya bahasa Perancis, bahasa Belanda, bahasa Jerman, bahasa Indonesia dan bahasa Melayu merupakan bahasa-bahasa atau langue-langue tersendiri. Langue dianggap bahasa kepunyaan kumpulan atau masyarakat tertentu, dan parole pula merupakan pertuturan atau bentuk ucapan individu yang kerap disebut sebagai idiolek.

Ilmu linguistik ialah bidang ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik (J. Lyons, 1968:1). Dalam bidang ilmu, kajian yang saintifik terdiri daripada kajian yang dijalankan dengan teratur menurut kamus-kamus tertentu. Segala yang dihasilkan dapat dibuktikan melalui pemerhatian yang sah dengan menggunakan prinsip-prinsip tertentu mengenai bahasa dan kaedah-kaedah yang bertanggungjawab. Ini bermaksud seorang sarjana linguistik menjalankan kajian linguistik, samalah seperti sarjana sains mengkaji ilmu sains.
Dalam ilmu linguistik, bahan kajian ialah bahasa. Beliau mengkaji dan mendeskripsi bahasa daripada yang dapat dan didengar, dilihat dan dibacanya (B. Bloch & G. L Trager 1942:8). Pengarang buku aspects of language, D. L Bolinger (1968) berkata, pada hari ini seorang ahli linguistik mengkaji kata adverba sama seperti saintis mengkaji atom.

Kesimpulannya, ilmu linguistik adalah ilmu yang megkaji bahasa secara saintifik. Maksudnya ilmu yang mengkaji dan menganalisis satu-satu bahasa tertentu secara emperikal dan objektif, iaitu mengkaji bahasa itu seperti yang benar-benar wujud tanpa dipengaruhi oleh agak-agakan, ramalan, sentimen atau falsafah. Misalnya, kita menggunakan ilmu linguistik itu untuk mengkaji bahasa Melayu. Kita mengkaji bahasa Melayu seperti yang benar-benar wujud dan digunakan oleh masyarakat itu, misalnya bagaimana bahasa Melayu itu diucapkan, bentuk dan sistem bahasa itu. Kita mengkaji secara formal dan objektif bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dihasilkan, sistem fonem, morfem, kata, frasa dan ayat yang berlainan bentuk dalam bahasa Melayu. Kajian ini dilakukan secara objektif, dan tidak boleh berdasarkan agak-agakan, ramalan, sentimen atau falsafah, dan hasil kajian itu pula boleh diuji kebenarannya.

1.2 Permulaan Linguistik
Di dunia barat, usaha membina ilmu pengetahuan bermula pada zaman kegemilangan sarjana Yunani kuno. Ilmu yang dihasilkan oleh sarjana Yunani menjadi asas kepada sarjana Rom melanjutkan kajian mereka dalam bidang ilmu dan khasnya bidang bahasa yang telah dibincangkan. Sarjana Rom banyak mewarisi tradisi ilmu linguistik daripada sarjana-sarjana Yunani. Usaha mereka itu dikembangkan lagi oleh para sarjana zaman Rom. Seterusnya sarjana zaman pertengahan dan sarjana zaman Islam memanfaatkan himpunan ilmu itu yang dikembangkan hingga sekarang.

1.2.1 Sumbangan sarjana yunani

Walaupun manusia sering menganggap bahasa ini salah satu perkara biasa dan jarang dipersoalkan, tetapi orang-orang Yunani mengkaji semenjak tahun SM 500 lagi. Sarjana Yunani kuno maju dalam berfikir. Dalam pengertian Yunani pada masa itu, kajian bahasa termasuk dalam ilmu falsafah.
Bagi mereka, bahasa itu ialah sesuatu yang melambangkan tamadun yang tinggi dan dikaji bagi menerangkan segala kejadian alam. Oleh sebab mereka berfalsafah, maka terbitlah percubaan bagi mengetahui sama ada unsur bahasa seperti perkataan dan makna itu terbentuk secara semulajadi ataupun melalui kebiasaan. Sekiranya bahasa itu satu unsur semulajadi maka kita hendaklah menerima bahasa itu sebagaimana bahasa itu terbentuk. Tetapi sekiranya bahasa itu terbentuk menurut kebiasaan, maka bolehlah kita memperbaikinya apabila terdapat kekurangan (O. Jespersen, 1959).

Salah satu daripada sumbangan kekal ahli falsafah Yunani ini kepada dunia ilmu ialah pemikiran mereka mengenai bahasa. Misalnya Plato, mendefinisikan ayat sebagai rentetan kata yang membentuk pemikiran lengkap, iaitu logos. Logos terbahagi kepada dua, iaitu onoma dan rhema. Apabila kita membaca karya Zainal Abidin bin Ahmad (Za’ba), iaitu pelita bahasa melayu 1 (1947), maka kita mendapati definisi yang sama bagi ayat digunakan. Za’ba juga membahagikan ayat kepada benda (onoma) dan cerita (rhema).

Selepas sarjana Yunani Plato, muncul pula seorang sarjana lain Dionysius Thrax yang tinggal berdasarkan kepada bahasa yang betul seperti yang digunakan oleh pemuisi Homer dalam puisinya. Beliau mengajar di Rhodes dan Rom. Sepanjang kerjayanya mengajar, beliau menghasilkan buku tatabahasa Yunani iaitu Techne Grammatike. Buku ini menjadi uku tatabahasa pegangan untuk bahasa Yunani hingga ke hari ini. Asas-asas tatabahasa inilah yang menjadi asas penulisan buku-buku tatabahasa bahasa-bahasa eropah pada hari ini. Dalam buku tatabahasanya, beliau menggolongkan kata kepada lapan, iaitu kata nama, ganti nama, kata kerja, kata adjektif, kata adverba, kata sendi, kata praktikel dan kata seru.

1.2.2 Sumbangan sarjana Rom

Sarjana bahasa Rom tidak menghasilkan banyak karya asli. Namun mereka juga membuat sumbangan besar. Sumbangan mereka terdiri daripada usaha menyadur teori-teori bahasa sarjana Yunani dan disesuaikan kepada tatabahasa Latin. Mereka menyusun tatabahasa Latin berdasarkan tatabahasa Yunani. Ini mereka lakukan dengan baik. Ini dapat dilihat dalam karya dua orang sarjana bahasa Rom iaitu Donatus yang hidup dalam kurun keempat Masihi, dan Priscian yang hidup dalam kurun kelima di wilayah Rom Timur, iaitu Istanbul.

Tatabahasa yang dikarang oleh Priscian itu masih dianggap baku hingga ke hari ini. Tajuk buku tatabahasa itu adalah institutiones gramatikae, dan tebalnya adalah 1000 halaman dan mengandungi 18 jilid. Buku tatabahasa Latin itu lengkap membincangkan pembentukan kata dan ayat. Daripada segi linguistik moden, memang dapat dikatakan kaedah yang digunakan tidak konsisten, sebab kadang-kadang beliau membuat deskripsi berdasarkan kriteria formal atau bentuk kata dan kadang-kadang semantik atau makna. Namun tatabahasa yang beliau hasilakn masih dijadikan asas tatabahasa Latin hingga ke hari ini.

1.2.3 Sumbangan Sarjana Arab

Setelah zaman kesarjanaan Yunani dan Rom berakhir, usaha mengkaji bahasa di Eropah tidak berlaku lagi, sehinggalah timbul zaman perbandingan bahasa pada abad ke-18 dan ke-19. pada masa Eropah mengalami zaman gelap, tradisi kesarjanaan itu diteruskan di ibu wilayah empayar Islam di Baghdad. Sebenarnya tradisi orang Arab dalam bidang pengajian bahasa sudah lama bermula, iaitu sejak timbulnya pusat pengajian dan pembelajaran tinggi di empayar Islam di Madinah, Damsyik, Iskandariah dan Kordova. Penulisan Quran yang begitu rapi dan tidak berubah-ubah sebutannya sejak 1400 tahun yang lalu dapat membuktikan yang deskripsi bunyi dan lambangnya dibuat dengan rapi.

Perkembangan empayar Islam juga mempengaruhi usaha pengajian bahasa Arab. Perkembangan empayar Islam memperkembangkan ajaran Quran dalam bahasa Arab. Ini memerlukan deskripsi sistem bunyi dan tatabahasa yang lengkap, dan juga perlu ada pengajian filologi dan leksikografi yang sempurna bagi membantu mengajar Quran itu secara khusus dan bahasa Arab secara am.

Seorang sarjana bahasa Arab bernama al-Khalil (T.M.718-786) menjadi terkemuka dalam ilmu linguistik. Beliau ialah seorang ahli leksikografi yang menumpukan tenaga dan pemikiran dalam mengkaji fonetik dan kata. Dalam pengajiannya, beliau mendeskripsi bunyi-bunyi bahasa Arab dengan memilih bunyi-bunyi konsonan sahaja, dan bunyi-bunyi vokal diberi fungsi sebagai bunyi yang memberi perbezaan-perbezaan terhadap konsonan tersebut. Beliau memberi perhatian yang mendalam dan meluas terhadap bunyi konsonan. Ada kelebihan dalam pengajian seperti itu sebab bunyi-bunyi konsonan tersebut lebih konstan daripada bunyi-bunyi vokal. Bunyi-bunyi vokal berubah-ubah dan mempunyai variasi dalam pengucapannya, bergantung kepada bunyi konsonan yang berlaku sebelumnya.

Tatabahasa bahasa Arab disusun lengkap mencakupi bidang pembentukan kata dan ayat. Sebuah ayat dikatakan terdiri daripada dua unsur iait amnah dan khabar, sama seperti benda dan cerita yang digunakan oleh Za’ba. Ahli bahasa Arab juga menghasilkan kamus. Kamus yang disusun pada zaman kecemerlangan sarjana Islam ini masih digunakan hingga sekarang.

1.2.4 Sumbangan Sarjana Zaman Pertengahan

Kedudukan bahasa Latin dan pengetahuan mengenai bahasa Latin amatlah istimewa di Eropah dalam zaman pertengahan. Bahasa Latin pada masa itu dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan, budaya dan diplomasi. Pendeknya, bahasa Latin adalah bahasa bagi mendapatkan pekerjaan. Buku tatabahasa yang ditulis berdasarkan tatabahasa Priscian menjadi bahan penting bagi mempelajari bahasa Latin itu.

Dalam zaman pertengahan kitab injil diterjemahkan ke dalam beberapa buah bahasa tempatan. Ini memerlukan pengetahuan rapi dalam bahasa tempatan. Hasil ini adalah salah satu bahan bertulis untuk kajian linguistik. Usaha ini juga menjadi bukti pengaruh agama kristian terhadap perkembangan linguistik. Daripada pengalaman ini juga timbullah kaedah menganalisis bahasa-bahasa bagi memenuhi keperluan mengembangkan agama kristian. Ini dilakukan dengan menggunakan tatabahasa Latin susunan Priscian sebagai acuan membina tatabahasa lain, seperti yang dilakukan ke atas bahasa Eire, Wales dan Iceland.

Kajian tatabahasa pada masa itu menggabungkan sintaksis dan logik. Falsafah digunakan dalam mengkaji bahasa. Salah satu konsep falsafah yang digunakan bagi menentukan ayat ialah dengan membincangkan ksempurnaan sesuatu ayat yang dihasilkan. Oleh itu, sesebuah ayat yang dihasilkan hendaklah terdiri daripada kata nama dan kata kerja. Kata-kata daripada golongan yang berlainan disatukan menjadi ayat. Ini lebih dikenali seagai koligasi atau saling berdampingan pada masa ini. Mereka berpendirian, sebarang kesimpulan mengenai tatabahasa hendaklah berdasarkan logik, yakni rumus tatabahasa mestilah logikal.

1.2.5 Sumbangan Sarjana India

Hasil kajian pendeta-pendeta India terhadap tatabahasa bahasa Sanskrit wajar disanjung. Seorang daripada pendeta itu ialah Panini. Beliau menulis buku tatabahasa Sanskrit bertajuk Astadhyayi (Delaoan Kuliah). Karya beliau mendapat pengiktirafan sarajana linguistik moden kerana menghasilkan sebuah tatabahasa moden yang mengandungi banyak unsur pemikiran yang hanya dicetuskan oleh ahli linguistik moden di Eropah. Beliau hidup antara kurun ke-5 hingga ke-7 sebelum Masihi. Anehnya, ada konsep-konsep linguistik beliau yang sudah maju seperti yang tersapat dalam abad yang ke-20 ini. Di dalam karyanya beliau menyebut tentang karya lain yang sudah ada pada masa itu. Ada 400 buah huraian demikian dan semuanya mencakupi tiga bidang linguistik iaitu bunyi, tatabahasa dan makna.

Panini membuat deskripsi seutan bahasa Sanskrit dalam dua bahagian iaitu, sebutan bahasa Sanskrit bagi ayat-ayat suci dan sebutan Sanskrit umum. Dalam deskripsi beliau juga megenali bunyi vokal panjang dan pendek termasuk dalam golongan yang sama, dan tidak dibezakan. Ini dilakukan sekadar membezakan kualiti bunyi vokal tersebut, dan bukan bagi membezakannya sebagai dua fonem yang berasingan. Bunyi gelungan juga dibincangkan kerana bunyi ini dianggap mendatangkan masalah. Beliau mengatakan sifat bunyi gelungan seperti ɍ, r, l adalah sama seperti konsonan, tetapi fungsinya sama seperti vokal. Oleh sebab itu, dalam deskripsinya bunyi-bunyi ini digabungkan dengan vokal a, menjadi ɍa, ra dan la.

Ini menunjukkan bahawa kajian beliau ini dapat dibuat berdasarkan kepada pemerhatian. Contohnya unsure jeda (+) dalam perkataan kris+na. beliau mengatakan semua + didapati wujud sebelum bunyi sengau. Ciri ini dijelaskan dalam deskripsi itu. Kajian Panini terhadap bahasa Sanskrit juga mengenali unsur lain seperti sandi, dan unsur morfem kosong. Akhir sekali, dapat juga dilihat bahawa tatabahasa Sanskrit beliau adalah ringkas dan konsisten.

1.2.6 Sumbangan Sarjana Zaman Perbandingan

Apabila zaman pertengahan berakhir, kajian terhadap bahasa berkembang terus. Pada zaman itu timbul berbagai-bagai pandangan umum mengenai bahasa. Ada golongan sarjana yang berpandukan kepada agama, mengatakan bahasa itu adalah suatu kurnia suci daripadaTuhan. Begitulah fikiran sarjana Yahudi terhadap bahasanya. Mereka tidak membenarkan asal usul bahasa itu dikaji kerana takut kajian itu merosakkan pandangan orang. Suatu golongan sarjana lain dikenali sebagai sarjana bahasa Port Royal. Mereka mempunyai pegangan yang berlainan. Mereka menjalankan kajian terhadap bahasa dengan menggunakan logik, dan tidaklah dengan membuat penyelidikan terhadap bahasa itu sendiri. Segala-galanya diselesaikan dengan membuat kesimpulan yang didasarkan kepada hujah-hujah logik.

Apabila kuasa-kuasa di Eropah mula menjelajah dan menakluki kawasan-kawasan baharu di luar Eropah, maka ahli dakwah agama Kristian mula berusaha mengembangkan agama Kristian ke wilayah-wilayah penjajahan mereka. Dari situ timbullah kepentingan menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa-bahasa kawasan jajahan tersebut. Ini menyebabkan sarjana-sarjana Eropah menetahui bahawa bahasa-bahasa itu tidak tetap dan sentiasa berkembang. Mereka membuat kajian perbandingan kata-kata dan melihat banyak persamaan bentuk kata. Persamaan kata-kata itu dapat dikatakan sama dengan persejajaran bunyi yang terdapat dalam bahasa-bahasa Eropah. Misalnya :


Bahasa ‘emak’ ‘dua’ ‘tiga’
Yunani Mater duo tries
Latin Mater duo tres
Rusia Mater dva tri
Inggeris mother two three


Persejajaran bentuk di antara kata-kata ini jelas terlihat di antara bahasa-bahasa Eropah. Sarjana-sarjana perbandingan bahasa mengkaji persamaan ini dan membuat kesimpulan mengenai unsur-unsur yang sama dala kata-kata tersebut, iaitu dari segi pergeseran bunyinya. Kajian begini meneliti ciri-ciri bahasa.

Dengan adanya kesimpulan yang dibuat oleh sarjana bahasa mengenai fenomena bahasa melalui kajian terhadap cirri-ciri bahasa, maka bolehlah dikatakan suatu aliran baharu mengenai kajian bahasa bermula. Inilah mulanya kajian saintifik. Antara tokoh-tokoh sarjana tersebut ialah Jacob grimm, Hermann Grassmann dan Karl Verner. Daripada hukum-hukum pergeseran bunyi itu, mereka dapat menggolong-golong bahasa ke dalam keluarganya, dan mencari bahasa induk bagi bahasa-bahasa Eropah. Dengan itu mereka dapat menentukan hubungan kekeluargaan bahasa-bahasa Eropah. Daripada pengamatan tersebut, mereka dapat membuktikan bahawa bahasa Sanskrit dan bahasa-bahsa Eropah berasal daripada satu induk, iaitu bahasa induk Indo-Eropah.



1.3 Linguistik moden

Pengaruh besar yang membentuk linguistik moden dating daripada Ferdinand de Saussure. Beliau hidup pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada mulanya beliau serupa sahaja dengan ahli bahasa lain yang sezaman dengannya. Kemudian baharulah mereka mendapat ilham baru dan memulakan kajian linguistik deskriptif struktur. Pengaruh beliau terlihat dalam dua hal. Pertama, tulisannya di antara 1878-1924 yang dikarang dalam bentuk sebuah memoir, membicarakan dari hal sistem vokal primitif dalam bahasa proto Indo-Eropah. Pendapatnya ialah satu revolusi berbanding dengan pendapat sarjana muda bahasa atau Junggrammatiker pada masa itu. Beliau membezakan kajian linguistik secara sinkronik (kajian mengenai sesuatu item) dan dikronik (kajian mengenai sistem bahasa).

Kedua, beliau menimbulkan perbezaan antara langue dan parole. Istilah langue sama pengertiannya dengan istilah bahasa, manakala istilah parole itu sama pengetiannya dengan loghat. Parole terdiri daripada ciri-ciri bahasa yang sama terdapat dalam pertuturan beberapa penutur loghat yang sama. Kita dapat melihat ciri-ciri yang dikongsi bersama penutur-penutur tersebut, di samping ciri-ciri yang membezakan setiap penuturnya individu. Langue pula terdiri daripada ciri-ciri parole yang umum dalam kelompok parole daripada bahasa yang sama.

De Saussure juga menyatakan bahawa bahasa mempunyai bahan dan bentuk. Bunyi-bunyi yang ditutukan itu adalah bahan bunyi, garis-garis lakar dikatakan bahan grafik dan lain-lain bagi sesebuah bahasa. Bentuk pula ialah pola-pola perhubungan yang abstrak ditentukan oleh sesuatu bahasa itu ke atas bahannya. Apabila kita mengkaji fonetik atau bunyi bahasa Melayu, kita mengkaji bahan bunyi dalam bahasa Melayu. Apabila kita mengkaji pola-pola pembentukan perkataan daripada bahan bunyi ini, kita mengkaji bentuknya. Begitu jugalah pola-pola ayat tatabahasa adalah bentuk-bentuk dalam bahasa.

De Saussure mempunyai ramai pengikut yang terbahagi kepada dua aliran. Mereka yang rapat dengannya ialah sarjana Aliran Geneva di Geneva, Glosematik di Copenhagen, dan Aliran Praha di Parague. Golongan yang ketiga berpusat di luar Eropah. Pegangan mereka terhadap pengajaran De Saussure menyimpang jauh. Sarjana yang di Eropah itu terus memperluas dan memajukan pengajaran Saussure.
Sarjana di amerika seperti L. Bloomfield juga banyak menurut langkah De Saussure. Seterusnya perkembangan linguistik di Amerika Syarikat dipengaruhi oleh kajian yang dijalankan paa zaman yang lebih awal, misalnya oleh F. Boas dalam bukunya Handbook of the American Languages (1971). Buku itu memberikan kaedah-kaedah secara sistematis bagaimana mendeskripsi bahasa. Beliau menerangkan yang bahasa-bahasa sebenarnya berbeza-beza dan tidak serupa. Oleh itu, deskripsi yang berlainan hendaklah dilakukan dan tidak semata-mata menggunakan sistem tatabahasa bahasa Eropah sebagai kerangka untuk semua.

Ada dua orang tokoh yang paling terkenal di Amerika selepas Boas, iaitu E. Sapir dan L. Bloomfield. Sapir mendapat pengetahuan asas dalam bidang Filologi di Jerman tetapi lama dipengaruhi oleh F. Boas. Oleh sebab itu beliau turut mengkaji bahasa-bahasa oarng asli Amerika. Beliau menulis bukunya yang pertama Language (1881). Buku ini bersifat umum dan ini berbeza daripada buku Language (1993) yang ditulis oleh Bloomfield. Buku Sapir itu lebih mementingkan pendekatan kajian daripada segi antrologi dan melihat bahasa dan fungsinya daripada segi suatu bidang kajian yang tersendiri. Bloomfield memperlihatkan dengan jelas konsep sains dalam kajiannya, iaitu suatu kenyataan yang menunjukkan bahawa semua bahan kajian hendaklah dapat diperhatikan dan dapat dianalisis dan ditentukan secara empiris.

Seorang lagi ahli linguistik Amerika Z. S. Harris, juga mengikut langkah Bloomfield melanjutkan usaha bagi menjalankan kajian linguistik struktural. Usaha inilah yang dipaparkan oleh Harris dalam bukunya structural linguistics (1951). Beliau memberi tekanan kepada langkah-langkah yang dijalankan bagi mewujudkan suatu kaedah mengkaji tatabahasa secara saintifik.

De Saussure juga ada mempengaruhi ahli linguistik di negeri Inggeris, iaitu J. R Firth. Firth mengutarakan konsep dan pendekatan sendiri dalam mengkaji bahasa. Beliau menumpukan perhatian terhadap dua perkara, iaitu analisis Prosodi dalam mengkaji tatabahasa dan juga keperihalan keadaan dalam mengkaji makna. Walau bagaimanapun, teorinya hanya dijalankan secara meluas dalam bidang fonologi dan kurang dalam bidang lain. Walau bagaimanapun, Firth percaya yang teorinya dapat digunakan pada semua peringkat analisis linguistic.
Ada banyak lagi buku lain di samping buku Saussure, seperti buku Otto Jesphersen berjudul Language (1922) dan Alan Gardiner, Speech and Language (1932) yang menbincangkan teori-teori pertuturan dalam bahasa. Di samping itu terdapat juga buku-buku lain yang ditulis oleh L. Hjemslev mengenai glosematik. Dalam masa yang sama terdapat ahli-ahli linguistic lain dan juga ahli-ahli logik yang membincangkan kajian linguistik. Kongres-kongres antarabangsa mengenai linguistik mula diadakan, dan beberapa buah jurnal dikeluarkan.

Pada tahun 1950-an, satu perkembangan baharu yang dibawa oleh Noam Chomsky muncul. Inilah pembaharuan yang terkenal dengan nama tatabahasa transformasi generatif. Tatabahasa transformasi diperkenalkan oleh Chomsky pada tahun 1957 dalam bukunya yang bertajuk syntactic structures. Dalam tatabahasa transformasi ini kita perlu memahami beberapa konsep am. Kita perlu menerima apa yang dimaksudkan dngan ayat yang gramatis dan yang tidak gramatis dalam bahasa kita menurut ukuran seorang penutur bahasa ibunda. Ini kerana, bahasa diertikan sebagai mengandungi ayat-ayat yang diterbitkan. Pada hakikatnya ayat dapat dipanjangkan beberapa mungkin. Ayat-ayat ini dibentuk daripada unsur-unsur yang terhad bilangannya. Berkaitan dengan hal ini, kita menganggap bahawa ada beberapa proses operasi dalam membentuk ayat-ayat tersebut dengan menggunakan rumus-rumus tertentu. Rumus-rumus tersebut menggunakan jumlah unsur tadi, yang terhad pula banyaknya.

1.4 Linguistik Sebagai Satu Bidang Ilmu

Kita dapat memahami ilmu linguistik itu ialah suatu sains yang mengkaji bahasa. Unsur-unsur bahasa menjadi bahan yang dikaji secara saintifik. Sebenarnya pendapat bahawa linguistik itu sebuah ilmu yang saintifik, bukanlah baharu. Sarjana-sarjana linguistik yang mengkaji struktur bahasa pernah bernuat demikian pada tahun 1950 hingga 1990-an. Namun demikian ada juga timbul pendekatan ilmu linguistik yang membuat kajian dengan menggunakan fikiran atau spekulasi seperti dalam bidang kajian makna.

Pada hari ini, ilmu linguistik ,menjadi satu cabang ilmu yang mempunyai disiplinnya sendiri, sama tarafnya dengan ilmu-ilmu lain. Ada prinsip-prinsip tertentu dalam mengkaji linguistik. Istilah sains membawa erti bahawa linguistik mengkaji bahasa dengan membuat pemerhatian yang empiris. Kajian-kajian seperti inilah yang dapat menghasilkan deskripsi sistem dan struktur bahasa. Kita lebih biasa mengenali deskripsi sistem bahasa itu sebagai tatabahasa. Tetapi bukan tatabahasa sahaja yang menjadi kajian linguistik. Banyak bidang lain seperti bunyi, ejaan, gaya, makna, kamus, belajar bahasa, mengajar bahasa dan lain-lain.

1.5 Kajian Saintifik

Saintifik ialah kajian yang dapat menganalisis bahasa sebagai bahan, dan menghasilkan rumus-rumus bahasa dengan menggunakan prinsip-prinsip sains iaitu kajian yang meyeluruh, konsisten dan ekonomis. Syarat menyeluruh, bermakna kajian itu dapat menganalisis seluruh bahan yang dikaji dan tidak hanya menyatakan sesuatu berdasarkan bahan yang tidak lengkap.

Hasil kajian tidak boleh dirdasarkan kepada andaian sahaja. Syarat konsisten, bermaksud rumusan dihasilkan daripada analisis yang dijalankan, da tidak berlaku prcanggahan atau memperlengkap yang lain. Sebaliknya setiap rumus itu memperkuat atau memperlengkap yang lain. Syarat ekonomis, bermaksud bahawa kenyataan dalam analisis itu dapat dipaparkan dalam kenyataan yang ringkas dan kemas.

Kajian linguistik dapat dibahagikan kepada :

1)Ilmu fonetik dan fonologi
2)Ilmu morfologi dan sintaksis
3)Ilmu semantik

1.6 Cabang Atau Bidang Pengajian Ilmu Linguistik

a)Linguistik Deskriptif (Descriptive Linguistics)
b)Linguistik Historis (Historical Linguistics)
c)Linguistik Komparatif (Comparative Linguistics)
d)Sosiolinguistik (Sociolinguistics)
e)Neurolinguistik (Neurolinguistics)
f)Linguistik Am (General Linguistics)
g)Linguistik Terapan (Applied Linguistics)
h)Psikologistik (Psycholinguistics)

1.6.1 Linguistik Deskriptif (Deskriptive Linguistic)

Linguistik deskriptif ialah satu cabang linguistik yang menghuraikan satu-satu bahasa tertentu pada satu-satu masa tertentu. Misalnya ilmu linguistik yang menghuraikan atau menganalisis bahasa Melayu seperti yang dituturkan oleh masyarakat Melayu pada hari ini. Linguistik deskriptif akan menghuraikan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dituturkan dan bagaimanakah sistem bahasa Melayu itu digunakan dalam bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan segala aspek yang terdapat dalam bahasa Melayu.

Linguisif deskriptif hanya membuat huraian dalam satu-satu bahasa itu dan tidak pula membuat perbandingan dengan bahan-bahan lain atau mengkaji daripada sudut sejarah bahasa itu. Misalnya linguistik deskritik akan menghuraikan bunyi-bunyi vokal, konsonan, diftong, sistem suku kata, perkataan, frasa dan ayat bahasa melayu, tetapi tidak memuat perbandingan antara sistem vokal, konsonan, diftong, suku kata, perkataan, frasa atau ayat bahasa Melayu dengan ciri-ciri sistem dan sistem dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis, Jepun atau bahasa Cina.

Begitu juga linguistik deskriptif yang tidak berminat untuk mengkaji sejarah perkembangan atau pertumbuhan bahasa Melayu baik pada awal ataupun pada akhir satu-satu zaman itu. Apa yang diutamakan dalam disiplin ialah menghuraikan bentuk dan sistem bahasa itu secara objektif dan secara empirikal, iaitu seperti yang benar-benar wujud dalam bahasa itu. Ilmu linguistik deskriptif boleh digunakan untuk mengkaji dan menghuraikan secara umum sebarang bahasa di dunia, baik bahasa Melayu, bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa Jawa, bahasa Tagalog mahupun bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Jepun, bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Portugis, bahasa Itali dan lain-lain.

Dalam zaman 1950-an, iaitu zaman linguistk struktur kajian-kajian linguistik menggunakan pendekatan deskriptif. Kajian ini ditumpukan kepada bidang-bidang bunyi dan sintaksis sahaja. Ini dapat dilihat dalam buku-buku C. F Hockett (1955), R. H. Robins (1957), H. A. Gleason (1961) dan lain-lain.




1.6.2 Linguistik Historis (Historical Linguistics)

Linguistik historis ialah satu cabang linguistik yang menkaji satu-satu bahasa itu daripada sudut sejarah, iaitu menyelidiki segala perubahan dan perkembangan satu-satu bahasa itu. Misalnya linguistik historis mengkaji sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu sejak zaman sebelum merdeka hingga ke hari ini atau mengkaji sejarah perkamusan bahasa Melayu dan seumpamanya. Apa yang diutamakan dalam disiplin ini ialah sejarah dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam bahasa dari satu masa ke satu masa yang lain.

1.6.3 Linguistik Komparatif (Comparative Linguistics)

Linguistik komparatif ialah cabang linguistik yang mengkaji bahasa secara perbandingan, iaitu dengan cara melihat aspek-aspek persamaan dan perbezaan antara satu bahasa dengan satu bahasa yang lain, baik daripada segi fonologi, morfologi, sintaksis dan seumpamanya. Lazimnya ahli bahasa membandingkan ciri-ciri bahasa serumpun seperti membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Jawa, bahasa Tagalog, bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa Murut dan lain-lain atau menbandingkan bahasa Inggeris dengan bahasa-bahasa induk Jerman yang lain seperti bahasa Belanda, Perancis dan Jerman.

Namun demikian ada pula ahli-ahli bahasa yang turut membandingkan struktur bahasa-bahasa yang bukan daripada satu rumpun seperti membandingkan struktur frasa dan ayat bahasa Melayu dengan struktur frasa dan ayat bahasa Inggeris. Linguistik komparatif kerap digunakan untuk membanding-bandingkan satu dialek dengan dialek yang lain, misalnya membandingkan antara dialek kedah dengan dialek Perak, atau dialek Kelantan dengan dialek Terengganu atau membandingkan bidang fonologi, morfologi dan sintaksis antara dialek-dialek seperti dialek Kedah, dialek Negeri Sembilan, dan dialek Perak degan bahasa Melayu baku.

1.6.4 Sosiolinguistik (Sociolinguistics)

Sosiolinguistik yang juga dikenali sebagai linguistik antropologi atau linguistik sosial, ialah satu cabang linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa dan masyarakat. Menurut Dell Hymes (1996), sosiolinguistik merupakan ilmu yang mengkaji bahasa daripada segi hubungan dan latar belakang (setting), peserta (participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu perbicangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan, dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama sendiri (Nik Safiah Karim, 1981:4), dan Fishman (1968) pula menyatakan bahawa sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji ciri-ciri variasi bahasa, ciri-ciri fungsi variasi-variasi ini, dan ciri-ciri penutur yang menggunakannya apabila ketiga-tiga unsur ini berinteraksi, berubah dan mengubah satu sama lain dalam sesuatu masyarakat bahasa.

Dengan perkataan lain, sosiolinguistik merupakan kajian yang menumpukan perhatian kepada bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Manusia menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan untuk menyampaikan hasrat, buah fikiran dan perasaan serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain dalam kalangan anggota masyarakat.

Bahasa digunakan sebagai alat oleh masyarakat untuk berhubung, mengenal orang yang sedang bercakap dengan lebih mendalam dan bagaimana orang itu bercakap dan apa yang dicakapkan akan memberi tanda-tanda dan keterangan-keterangan tertentu tentang dirinya. Bagaimana seseorang itu bercakap, cara ia menyebut perkataan, bunyi-bunyi perkataan, bagaimana ia menyusun frasa dan ayat-ayat tertentu, serta jenis-jenis perbendaharaan kata yang digunakan olehnya akan menunjukkan dari daerah mana dan golongan mana ia berasal, dan jenis pendidikan yang telah diterimanya. Daripada apa yang dicakapkan, seseoarang itu dapat menangkap sikap dan pendiriannya, pekerjaannya, dan berbagai-bagai aspek latar belakangnya. Bidang-bidang seperti inilah yang tercakup oleh disiplin sosiolinguistik.

Di samping itu sosiolinguistik juga turut mengkaji sistem ganti nama, sistem panggilan, dan sistem gelaran dalam sesebuah masyarakat dalam masyarakat Melayu seperti penggunaan kata-kata ganti nama, panggilan dan gelaran seperti “aku”, “patik”, “beta”, “engkau”, “anda”, “pak cik”, “mak cik”, “abang”, “adik”, “encik”, “tuan”, “dato”, “Tan Sri”, “Puan Sri”, dan seumpamanya.


Sosiolinguistik lazimnya menumpukan kajian pada aspek atau topik seperti yang berikut :

a)Bahasa rasmi
b)Bahasa kebangsaan
c)Pidgin
d)Kreol
e)Bilinguism
f)Dialek
g)Ideolek
h)Ragam bahasa
i)Sikap terhadap bahasa
j)Kesetiaan terhadap bahasa dan perancangan bahasa

1.6.5 Neurolinguistik (Neurolinguistics)

Neurolinguistik ialah cabang ilmu yang mengkaji hal-hal otak dan perkaitannya dengan bahasa. Neurolinguistik menumpukan kajian terhadap bagaimana bahasa itu diproses di dalam otak dari awal pemerolehan bahasa sampailah bahasa itu berkembang dalam kehidupan manusia. Dengan perkataan lain, neurolinguistik ingin mengetahui bagaimana otak diorganisasi pada waktu mengelolakan aspek-aspek kemampuan bahasa dan perlakuan bahasa yang begitu rumit.

Neurolinguistik mempunyai hubungan yang erat dengan afasiologi, kerana kedua-dua disiplin ini sama-sama mengkaji penyakit bertutur. Afasiologi mengkaji penyakit bertutur, terutama untuk tujuan mengubatinya, dan neurolinguistik cenderung untuk mengetahui hakikiat hubungan antara otak bahasa demi pengubatan penyakit bertutur. Neurolinguistik banyak mendapat manfaat daripada kerjasama antara psikologi dengan linguistik, dan afasiologi pula mendapat manfaat daripada neurologi.

Neurologi mula-mula wujud dalam abad ke-19, diwujudkan oleh P. Broca dan C. Wernicke. teori neurolinguistik Wernicke merupakan teori yang pertama lahir daripada beberapa kes kajian penyakit Afasia.

Menurut ilmu neurolinguistik, otak manusia mempunyai dua bahagian, iaitu medan wernicke korteks (hemisfera kiri korteks), dan medan broca korteks. Medan wernicke mengandungi reprisentasi ingatan pendengaran bentuk kata yang berfungsi mengamati dan menerima ucapan. Kalimat-kalimat bahasa disimpan dan diproses di hemisfera kiri otak manusia. Kalimat-kalimat difahami melalui medan wernicke belahan kiri (hemisfera kiri korteks), otak manusia.

Medan broca kerteks pula berfungsi melahirkan kalimat-kalimat. Medan broca kerteks menukar kalimat-kalimat yang disimpan dalam medan wernicke kerteks kepada bentuk bunyi. Pakar kajian neurolinguistik, Damasi H (1987) telah mengemukakan penemuan terbaharu beliau yang menunjukkan bahawa medan broca tidak sahaja berfungsi untuk melaksanakan proses-proses sintaksis dan produksi fonologi, tetapi proses-proses morfologi juga.

Menurut teori neurolinguistik klasik, hemisfera kanan berfungsi untuk komunikasi kebahasaan yang penting. Hemisfera kanan mempunyai fungsi mengendalikan semua fonem segmental (aspek-aspek intonasi dan prosedi) dan tona suara, akspresi muka dan gerak-geri badan sewaktu bertutur dan makna perumpamaan dan ungkapan ideometik juga. Oleh sebab itulah pemahaman kalimat-kalimat terganggu apabila hemisfera kanan mengalami kerosakan. Dengan demikian teranglah hemisfera kanan secara aktif terlibat dalam proses kebahasaan pada waktu berkomunikasi (Mengantar Simanjuntak, 1991:143)

Kajian neurolinguistik juga mendapati bahawa hemisfera kiri kajian neurolinguistik juga mendapati bahawa hemisfera kiri mengendalikan kata-kata yang membawa makna-makna literal (tersurat) dalam kalimat-kalimat, sedangkan hemisfera kanan bertanggungjawab mengendalikan makna-makna tersirat. Kedua-dua hemisfera bekerjasama pada waktu berkomunikasi untuk menjamin pemahaman dan penyampaian makna yang sempurna.

Di samping itu, hemisfera kanan juga berfungsi untuk semua hal yang berkaitan dengan pembentukan idea yang bukan bahasa seperti kebolehan kontruksi, proses kegiatan gestalt, pengenalan muka dan garis gambar yang rumit, muzik dan lagu, ruang dan segala sesuatu yang termasuk ke dalam apa yang dulunya terkenal denagan istilah bawah sedar. Implikasi penemuan ini sangat penting kepada bidang pendidikan, pengajaran bahasa pengubatan penyakit bertutur, permainan tenis, badminton, inovasi dan kekaryaan (Mengantar Simanjuntak, 1991:142-143)

1.6.6 Linguistik Am (General Linguistik)

Linguistik am disebut juga sebagai linguistik umum yang merupakan ilmu linguistik yang membuat kajian atau membicarakan bahasa secara umum. Maksudnya dalam linguistik am dibicarakan hal-hal tentang teori-teori kajian bahasa, kaedah-kaedah, pendekatan-pendekatan atau model-model yang digunakan dalam kajian bahasa. Dalam linguistik am turut dihuraikan bagaimana kajian bahasa dilakukan mengikut teori, kaedah dan pendekatan tradisional, kajian bahasa mengikut aliran struktur, teori dan kaedah kajian mengikut aliran transformasi generatif, relasional, fungsional dan seumpamanya.

Dalam linguistik am kajian ditumpukan kepada perkara-perkara umum daam bahasa secara universal. Huraian bahasa secara umum dan universal ini mencakupi bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan seumpamanya secara umum. Dengan menggunakan pengetahuan ilmu linguistik am, ahli bahasa dapat mengkaji dan menghurai segala bahasa yang dituturkan oleh manusia di dunia seperti bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Thai, bahasa Jepun, bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Itali dan seumpamanya.

1.6.7 Linguistik Terapan

Linguistik terapan ialah satu cabang linguistik yang memanfaatkan teori, deskripsi, kaedah dan hasil kajian linguistik dalam pengajaran bahasa, penulisan buku-buku teks, dalam leksikografi, penterjemahan, stilistik, patologi bahasa dan sebagainya. Teori, pendekatan, kaedah dan hasil kajian linguistik sangat berguna untuk diterapkan ke dalam pengajaran bahasa sama ada pengajaran bahasa sebagai bahasa pertama ataupun sebagai bahasa kedua.


1.6.8 Psikolinguistik

Psikolinguistik ialah cabang linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa dengan jiwa manusia. Maksudnya, psikolinguisik menganalisis jenis-jenis, bentuk-bentuk bahasa dan perkataan-perkataan yang digunakan oleh penutur dan hubungannya dengan fikiran dan jiwa penutur itu. Robert Lado, seoarang ahli dalam bidang pengajaran bahasa mengatakan bahawa “psikolinguistik adalah pendekatan gabungan melalui psikologi dan liguistik bagi telaah atau belajar pengetahuan bahasa, bahasa dalam pemakaian, perubahan bahasa, dan hal-hal yang ada kaitannya dengan itu yang tidak begitu mudah dicapai atau didekati melalui salah satu dari kedua ilmu tersebut secara terpisah atau sendiri-sendiri”. (Lado, 1976:220).

Emmon Bach dengan singkat dan tegas mengutarakan bahawa “psikolinguistik adalah sesuatu bahasa membentuk atau membangun atau mengerti kalimat-kalimat bahasa tersebut”. (Bach, 1964:64).

Menurut Ronald W. Langacker, “psikolinguistik adalah telaah mengenai behavior atau peri laku linguistik, iaitu performansi atau perbuatan dan perlengkapan atau aparat psikologis yang bertanggungjawab atasnya”. (langacker, 1968:6) (lihat Henry Guntur Tarigan, 1985:3).

Psikololinguistik turut mengkaji perkaitan antara peranan bahasa dengan peroses mengingat, membuat persepsi, pemerhatian dan pembelajaran. Disiplin ini juga memberikan perhatian ke atas pengaruh ingatan ke atas pertuturan dan kefahaman. Psikolinguistik turut meneliti aspek pengusaan bahasa kanak-kanak dan mengkaji proses akal kanak-kanak dalam memahami, mengingat dan melahirkan kembali bentuk-bentuk bahasa dalam pertuturan.

1.6.9 Cabang Linguistik Lain

Di samping itu terdapat juga beberapa cabang linguistik yang lain seperti linguistik etnografi (ethnografics), iaitu kajian terhadap linkungan alam dan budaya sesuatu masyarakat dan hubungannya dengan bahasa dan situasi pertuturan, linguistik fungsional (functional linguistics), iatu analisis bahasa yang memberi perhatian kepada pelbagai fungsi bahasa baik dalam bidang bahasa ataupun di luar bidang bahasa.

Huraian tentang linguistik fungsional ini ada terkandung di dalam teori dan tulisan sarjana-sarjana seperti Buhler, Firth, Martinet, Halliday, Pike, Troubetzkoy dll. Pada tahun 1970-an telah wujud Tatabahasa fungsional (funnctional grammar) iaitu satu teori linguistik yang lahir sebagai alternatif kepada teori Tatabahasa Transformasi Generatif ; linguistik kognitif (cognitif linguistics), iaitu kajian terhadap bahasa yang menekankan hubungan antara bentuk-bentuk bahasa dengan informasi-informasi yang terdapat di dalam otak atau akal manusia.

Lamb mengakui bahawa teori stratifikasi merupakan sejenis linguistik kognitif ; linguistik matematik (mathematical linguistics) iaitu sejenis kajian terhadap bahasa yang mempelajari ciri-ciri matematik dalam bahasa dengan menggunakan konsep-konsep statistik dan algebra ; linguistik komputasi (computational linguistics), iaitu cabang linguistik yamg menggunakan teknik komputer dalam kajian bahasa dan kesusasteraan ; linguistik medis (language Pathology), iaitu cabang linguistik terapan yang mengkaji permasalahan dala bahasa seperti cacat bahasa dan sebagainya. Kajian ini juga disebut patologi bahasa ; linguistik pedagogi (pedagogical linguistics), iaitu cabang kajian bahasa yang menerapkan teori dan dapatan kajian linguitik dalam mencari kaedah-kaedah yang efektif dalam pengajaran bahasa dan lain-lain ; linguistik kontrastif (contrastive linguistics), iaitu cabang linguistik yang mengkaji persamaan dan perbezaan antara bahasa-bahasa atau dialek-dialek untuk mencari prinsip-prinsip yang dapat diterapkan dalam pengajaran bahasa atau penterjemahan ; linguistik renaisans (renaissance linguistics), iaitu kajian linguistik pada zaman renaisans, iaitu zaman sesudah linguistik abad pertengahan yang ditandai oleh perluasan kajian atau pandangan di luar bahasa yunani dan latin, dan bahasa-bahasa indo-Eropah dengan menambahkan beberapa konsep dan kategori baharu dalam kajian bahasa ; linguistik saussure (saussure linguistics), ialah istilah yang digunakan untuk kajian linguistik teori ferdinand de saussure, yang mencakupi pemisahan antara pendekatan diakronis, perbezaan antara langue dengan parole, hubungan paradigmatis dan sintagmatis.

Teori ini dianut pula dengan perubahan atau tanpa perubahan oleh aliran Praha dan Glosematik ; linguistik struktural (structural linguistics), iaitu bidang kajian linguistik yang menggunakan teori, kaedah dan pendekatan struktural, iaitu yang menganggap bahasa itu memounyai strutur atau sistem yang bebas. Aliran ini menumpukan kajian ke atas bahasa lisan dan tidak mengutamakan aspek semantik.

Hasil kajian linguistik struktural ini boleh digunakan untuk melatih pelajar-pelajar asing atau yang baru mempelajari bahasa atau pelajar yang lemah pencapaian dalam penguasaan bahasa.

Linguistik taksonomi (taxonomic linguistics), ialah pendekatan kajian atau analisis bahasa dengan tujuan utama untuk mendaftarkan dan mengklasifikasikan pelbagai fenomena bahasa kepada kelompok, atau golongan seperti kelas atau golongan kata dalam tatabahasa, jenis-jenis konsonan dalam bidnag fonetik, medan makna dalam bidang semantik dan sebagainya ; linguistik singkronis (syncronis linguistics), iaitu kajian bahasa yang dilakukan terhad pada satu-satu masa tertentu, misalnya kajian bahasa Melayu pada hari ini, atau pada abad ke-20 tanpa melihat perubahan-perubahan pada bahasa itu dan tidak pula membuat perbandingan antara perkembangan bahasa daripada satu masa ke satu masa.

Cara linguistik singkronis ini digunakan dalam kajian linguistik deskriptif, iaitu mengkaji satu-satu bahasa itu pada satu-satu masa tertentu. Kajian cara singkronis ini diperkenalkan oleh linguis bangsa Swiss, Ferdinand de Saussure (1916). Linguistik diakronis (diachronic linguistics), iaitu linguistik yang mengkaji bahasa pada dua masa atau yang berlainan masa, misalnya mengkaji bahasa Melayu pada zaman sebelum merdeka dengan bahasa pada zaman selepas merdeka dengan melihat perubahan-perubahan bahasa daripada segi fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik. Cara kajian linguistik diakronis ini diperkenalkan oleh ahli bahasa bangsa Swiss, Ferdinand de Saussure.

1.6.10 Linguistik Aliran Tatabahasa Transformasi Generatif

Tatabahasa aliran tansformasi generatif ini ialah salah satu aliran kajian bahasa yang dikemukakan oleh ahli bahasa amerika bernama Noam Chomsky, Profesor linguistik dan bahasa-bahasa moden di Massacchusetts Institute Of Technology. Beliau telah mengemukakan teori tatabahasa transformasi generatif ini dalam buku monografnya yang terkenal, iaitu syntactic structures dalam tahun 1957. Teori generatif ini dianggap sebagai satu aliran linguistik yang baru dan sebagai revolusi dalam bidang kajian tatabahasa.

Kemudian Chomsky telah memperbaiki teori ini dengan menerbitkan pula buku Aspects Of The Theory Of Syntax dalam tahun 1965 dan teori ini dianggap sebagai teori standard. Teori ini menumpukan kajian dalam bidang sintaksis atau ayat dan mengutamakan bidang makna atau semantik. Menurut teori ini setiap ayat yang dilahirkan mengandungi dua peringkat.

Pertama, peringkat struktur dalaman, iaitu stuktur yang biasanya mengandungi bentuk ayat dasar atau ayat inti yang diperlukan untuk membentuk asas makna ayat, atau dengan kata lain membentuk semantik ayat.

Kedua, peringkat struktur permukaan, iaitu struktur ayat yang biasanya telah mengalami perubahan daripada struktur dalamannya dan merupakan bentuk ayat yang akan sebenarnya diucapkan oleh si penutur, dan yang diperlukan untuk ditafsirkan oleh bahagian bunyi bahasa yang dinamai komponen fonologi. (Nik Safiah Karim dan rakan-rakan, 1987:201)

Kedua-dua jenis struktur, iaitu struktur dalaman dan struktur permukaan diterbitkan oleh dua jenis hukum atau rumus tatabahasa, iaitu rumus struktur frasa menerbitkan ayat-ayat pada peringkat struktur dalaman dan rumus transformasi pula berfungsi menukarkan pola atau sruktur ayat-ayat hingga membawa kepada peringkat struktur permukaan. Bentuk ayat struktur permukaan selalunya tidak serupa dengan bentuk struktur dalaman. Struktur dalaman yang wujud oleh rumus struktur frasa kemudian akan menjadi input kepada komponen yang menjadi input kepada komponen yang mengandungi rumus transformasi.

Rumus transformasi itu berkuasa untuk menggugurkan unsur kata, menambahkan unsur kata, dan mengubah atau menyusun semula susunan unsur kata. Teori ini juga mengandaikan bahawa kedua-dua jenis rumus tatabahasa itu menjadi sebahagian daripada unsur kecekapan berbahasa seseorang individu (Ibid:202).

0 comments: