BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Pages

BLOG KESUSASTERAAN MELAYU CIKGU FARHAN

SELAMAT MELAYARI BLOG KESUSASTERAAN MELAYU CIKGU FARHAN DI LINK INI BERSAMA MENUJU KEGEMILANGAN!!

Pengunjung Setia

Dari Mana Anda Online?

KATA-KATA HIKMAT / FALSAFAH

ANDA TIDAK KUAT
TETAPI ANDA MEMPUNYAI KEKUATAN
UNTUK MENJADI KUAT,

LANGKAH PERTAMA ITU ADALAH HARAPAN
SEDANGKAN TIDAK MELANGKAH
LANGSUNG TIADA HARAPAN.

OLEH : DATO' DR. SYED AHMAD

CITA-CITA TANPA USAHA ADALAH ANGAN-ANGAN,
ANGAN-ANGAN YANG DIUSAHAKAN ADALAH CITA-CITA.


OLEH : MAS ADEKI

Wednesday, April 27, 2011

> MORFOLOGI - Apitan ke-…-an

Apitan ke-…-an kata kerja

Apitan ke-…-an adalah produktif dan berlaku dengan kata dasar tunggal dan juga kompleks ( Abdullah Hassan, 2006 ). Imbuhan apitan ke-…-an sebagai imbuhan kata kerja ditentukan oleh kedudukan perkataan-perkataan terbitannya dalam ayat-ayat bahasa Malaysia ( Arbak Othman, 1989 ). Menurut Abdullah Hassan (2006), imbuhan ke-…-an ada dua makna iaitu keserupaan dan pasif. Tatabahasa Dewan (2004: 201), menyatakan golongan kata kerja, kata adjektif dan kata nama boleh bergabung dengan apitan ke-…-an untuk membentuk kata kerja dalam ayat pasif.

Dapatan
Jelas bahawa imbuhan apitan ke-…-an sebagai kata kerja adalah berfungsi sebagai pasif, misalnya, kecurian, kehilangan, kedengaran, kehujanan, dan lain-lain. Contohnya:

Ahmad kecurian wang petang semalam.
Saya kehilangan pen.
Bunyi keretapi kedengaran sayup-sayup.
Dalam ayat-ayat di atas, perkataan kecurian, kehilangan, kedengaran, dan kehujanan adalah kata kerja yang bermaksud pasif. Perkataan wang, pen, dan sayup-sayup merupakan pelengkap.

Pembentukan ke-…-an
Apitan ke-…-an ini berhomomonim dengan ke-…-an kata nama. Namun, kedua-duanya dapat dibezakan satu sama lain apabila digunakan dalam ayat. Kata kerja dengan apitan ke-…-an hanya terdapat dalam predikat ayat. Kata akar atau kata dasar bagi menerbitkan kata ini boleh terdiri daripada kata nama, kata kerja, dan kata adjektif.

Kata nama sebagai kata dasar
Imbuhan apitan ke-...-an dalam kata kerja boleh bergabung dengan kata dasar yang terdiri daripada kata nama. Kata nama tersebut boleh akan membentuk kata kerja apabila menerima imbuhan apitan ke-…-an misalnya, hujan dan malang akan membentuk kata kerja kehujanan dan kemalangan. Makna dalam konteks ini ialah mengalami dan terkena. Berikut contoh kata kerja apitan ke-…-an daripada kata dasar kata nama:

Hujan - kehujanan
Banjir - kebanjiran
Lihat - kelihatan

Kata kerja sebagai kata dasar
Kata dasar yang menerima apitan ke-...-an dan membentuk kata kerja juga boleh terdiri daripada kata dasar kata kerja. Kata kerja ini boleh terdiri daripada kata kerja perbuatan dan kata kerja keadaan. Golongan kata kerja ini adalah bermaksud pasif iaitu mesti berada dalam predikat ayat. Berikut contoh kata kerja yang menerima imbuhan apian ke-…-an daripada kata dasar kata kerja

Hilang - kehilangan
Curi - kecurian
Mati - kematian

Kata adjektif sebagai kata dasar
Ke-...-an juga boleh menerima kata adjektif dan frasa adjektif bagi pembentukan kata karja. Dalam hal ini kata dasar yang pada awalnya merupakan kata adjektif akan bertukar golongan kata apabila menerima imbuhan apitan ke-...-an iaitu perubahan golongan kata adjektif kepada kata kerja. Contohnya:

Letih - keletihan
Panas - kepanasan
Berat - keberatan

Kata kerja pasif iaitu dikenai oleh perbuatan kata dasar imbuhan apitan ke-…-an yang terdiri daripada banyak golongan kata dasar yang berlainan akan menerbitkan kata kerja yang berlainan. Dapat disimpulkan bahawa kata kerja apitan ke-…-an menunjukkan makna perbuatan yang menunjukkan terkena atau mengalami dan berfungsi pasif dalam ayat. Contoh:

Curi - kecurian
Bakar - kebakaran
Gugur - keguguran
Mati - kematian
Sejuk - kesejukan
Panas - kepanasan
Seorang - keseorangan

Kata kerja yang diterbitkan itu dapat dilihat dalam contoh berikut:

Bank itu mengalami kecurian pada pagi semalam.
Empat buah keluarga menjadi mangsa kebakaran petang tadi.
Kakak saya mengalami keguguran setelah dia terjatuh dari atas tangga.
Kami kesejukan kerana basah kuyup akibat hujan.

Makna Apitan ke-…-an
Bagi Abdullah Hassan ( 2006: 108), membahagikan makna apitan ke-…-an kata kerja kepada dua iaitu keserupaan dan pasif. Makna keserupaan yang diberikan Abdullah Hassan adalah seperti berikut:

Cina - kecinaan
anak-anak - keanak-anakan
Inggeris - keinggerisan

Bagi beliau, apitan ke-…-an berlaku dengan kata dasar daripada golongan kata nama dan menerbitkan kata kerja yang menunjukkan keadaan yang serupa dengan yang ditunjukkan dalam kata dasar tersebut. Jika dilihat, makna keserupaan yang diberikan oleh beliau lebih bermakna adjektif atau sifat yang menunjukkan bersifat sesuatu. Misalnya, kecinaan yang bermaksud bersifat cina dan begitu juga dengan keinggerisan yang bermaksud bersifat seperti inggeris.

Apitan ke-…-an kata kerja membawa makna tertentu mengikut penggunaannya dalam ayat. Apitan ke-…-an boleh membawa pengertian ditimpa akibat sesuatu, misalnya:

Kehujanan = ditimpa akibat hujan
Kehausan = ditimpa akibat haus
Kejatuhan = ditimpa akibat jatuh

Apitan ke-…-an kata kerja juga membawa pengertian ditimpa rasa atau keadaan, contohnya:

Keberatan = ditimpa rasa berat/keadaan berat
Kesakitan = ditimpa rasa sakit/keadaan sakit
Kepanasan = ditimpa rasa panas/keadaan panas

Apitan ke-…-an yang membawa pengertian kena, misalnya:

Kemalangan = kena malang
Ketinggalan = kena tinggal
Kehujanan = kena hujan

Selain membawa makna perbuatan, apitan ke-…-an kata kerja juga boleh membawa pengertian hasil atau dapat di-, contohnya:

Kelihatan = dapat dilihat
Kedengaran = dapat didengar

Apitan ke-…-an sebagai imbuhan kata adjektif
Apitan ke-…-an juga wujud sebagai kata adjetif atau kata sifat. Bagi Abdullah Hassan (2006), apitan ke-…-an kata adjektif berfungsi bagi menerangkan kata nama. Gabungan apitan ke-…-an dengan satu kata dasar daripada jenis kata nama menerbitkan bentuk kata adjektif yang menunjukkan suatu keadaan atau sifat kata nama yang diterangkan ( Tatabahasa Dewan ,2004:224). Arbak Othman (1989), menyatakan bahawa lazimnya dasar kata nama atau kata adjektif yang diimbuhkan itu digandakan. Misalnya:

ke- + emas + -an = keemasan (keemas-emasan)
ke- + kuningan + -an = kekuningan (kekuning-kuningan)
ke- + merah + -an = kemerahan ( kemerah-merahan)

Dapatan
Berdasarkan penerangan yang diberi, dapat dirumuskan bahawa apitan ke-…-an kata adjektif berfungsi untuk menerangkan kata nama. Kata adjektif yang diterbitkan oleh apitan ke-…-an memberi penerangan kepada kata nama yang diterangkan. Misalnya:
Pakaian kebesaran kerajaan dibawa masuk. ( menerangkan kata nama pakaian)
Anak kesayangan memang diberi layanan istimewa. (menerangkan kata nama anak )
Perangai kecinaannya itu tidak dapat dibuang. Menerangkan kata nama perangai )


Pembentukan ke-…an
Kata adjektif yang diterbitkan oleh apitan ke-…-an dibentuk daripada kata dasar nama dan adjektif. Dasar kata nama yang membentuk kata adjektif seperti berikut:

Cina - kecinaan
Barat - kebaratan
Melayu - kemelayuan
Arab - kearaban
Tuhan - ketuhanan

Dasar kata adjektif yang membentuk kata adjektif apabila menerima imbuhan apitan ke-…-an adalah seperti berikut:

Biru - kebiruan
Lemah – kelemahan
Baik - kebaikan
Besar - kebesaran
Kuat - kekuatan

Makna apitan ke-…-an
Kata adjektif merupakan kata sifat atau kata yang menerangkan sesuatu sifat atau keadaan. Apitan ke-…-an membentuk kata adjektif membawa pelbagai makna. Apitan ke-…-an membawa makna mirip sifat atau bersifat seperti sesuatu, misalnya:

Kepahlawanan = bersifat seperti pahlawan
Kebaratan = bersifat seperti barat
Keemasan = bersifat seperti emas

Selain itu, apitan ke-…-an kata adjektif juga membawa makna keadaan atau sifat sesuatu. Contohnya:

Kebaikan = keadaan atau sifat baik
Kelemahan = keadaan atau sifat lemah
Keburukan = keadaan atau sifat buruk

Kesimpulan
Bahasa Melayu mempunyai banyak imbuhan yang membentuk pelbagai golongan kata. Dalam bahasa Melayu, imbuhan terbahagi kepada awalan, akhiran, apitan, dan sisipan. Sesuatu golongan kata berubah dan ada kalanya berubah apabila menerima imbuhan. Selain itu, imbuhan juga mempunyai fungsi tertentu untuk menerangan sesuatu kata. Bentuk-bentuk imbuhan dalam bahasa Melayu juga berbeza-beza mengikut jenis imbuhan. Apitan dalam bahasa Melayu mempunyai pelbagai bentuk iaitu apitan ber-…-kan, di-…-i, diper-…-i, diper-…-kan, me-…-kan, me-…-i, memper-…-kan, memper-…-i, pe-…-an, dan per-…-an.

Imbuhan apitan ke-…-an adalah produktif dalam bahasa Melayu. Deskripsi apitan ke-...-an juga dibentuk mengikut bentuk, fungsi tatabahasa, dan makna. Bentuk imbuhan apitan ke-…-an sentiasa konstan iaitu tidak berubah walaupun bentuk fonologi dan morfologi dasarnya berubah. Daripada segi morfologi pula, apitan ini adalah gabungan awalan ke- dengan akhiran –an, tetapi kedua-duanya hadir serentak dan dikira sebagai satu imbuhan iaitu apitan.

Imbuhan apitan ke-…-an menerbitkan kata nama abstrak dan juga konkrit. Berdasarkan fingsinya, ke-…-an kadang-kadang membawa fungsi yang sama dengan gabungan fungsi imbuhan ke- dan –an. Lazimnya apitan ke-…-an dapat digantikan dengan akhiran –an saja dalam konteks-konteks tertentu. Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan hal, ke-…-an, dan –an tidaklah serupa. Bagi kata kerja, imbuhan apitan ke-…-an membawa maksud pasif dan juga terdapat pada kata adjektif. Imbuhan apitan ke-…-an menerbitkan kata adjektif yang berfungsi menerangkan kata nama.

0 comments: